April 03, 2009

MANUSIA MENURUT IMAM AL-GHAZALI



BIOGRAFI IMAM AL-GHAZALI

Abu Hamid Muhammad al-Tusi al-Ghazali adalah nama pengarang kitab terkenal "Ihya Ulumuddin" yang terdiri daripada empat jilid besar. Beliau dilahirkan di suatu daerah bernama Thusia di Kota Khurasan, termasuk Wilayah Persia pada tahun 450 H (1058 M). Ayahnya seorang penenun dan penjual kain bulu di Thusia. Beliau adalah seorang ahli Feqah, Falsafah dan termasuk salah seorang tokoh ahli Tasawwuf yang paling terkenal, serta ahli di bidang ilmu kedoktoran, iaitu sebagai tokoh yang paling menonjol di bidang ilmu kejiwaan. Ada 70 buah karangan beliau yang meliputi bidang Feqah, Falsafah dan Tasawwuf yang banyak diterjemahkan ke dalam bahasa Latin, Perancis, Inggeris, Jerman dan Indonesia.
Di antara kitab karangan beliau adalah al-Basith, al-Wasith, al-Wajiez, al-Khulashah, al-Mustasyfaa, al-Manhul, Ihya Ulumuddin dan sebagainya.
Di bidang Falsafah, pendapat Imam al-Ghazali banyak bertentangan dengan aliran Falsafah pada masa itu. Pada masa hidup beliau, masih berkobar pertentangan yang hebat antara kelompok ahli Tasawuf dengan ahli Feqah. Oleh kerana itu beliau berusaha untuk mengkompromikan antara kedua golongan yang bertentangan itu.
Sebagai seorang yang terkenal, tentunya beliau memiliki pengikut dan penentang. Di antara yang menentang beliau dari golongan Islam sendiri yang paling besar ialah: Ibnu Rusyd Avereos (1126-1198M), Ibnu Taimiyah (661-724H), Ibnu Qayyim dan lain-lain. Dan di Eropah beliau mendapat penghargaan dan penentangan yang besar dari ahli Falsafah seperti Renan, Cassanova, Carra de Vause dan lain-lain.
Kitab beliau yang bernama Tahatuful-Falasifah banyak diterjemahkan ke dalam berbagai bahasa Eropah dan dipergunakan oleh kaum Gereja atau Kristian sebagai bahan dan rujukan utama dalam mempertahankan arus Filasafat Averroisme (Ibnu Rusyd) yang menguasai alam fikiran orang Eropah pada masa itu.
Kitab Ihya Ulumuddin itu sebenarnya adalah hasil pengalaman, pengembaraan, penjelajahan dan penelitian Imam al-Ghazali di dalam pelbagai ilmu. Kitab yang amat terkenal itu adalah hasil usaha beliau setelah beliau ragu-ragu terhadap segala hal di bidang kepercayaan, yang akhirnya keraguan itu sedikit demi sedikit menjadi lenyap, diganti dengan keyakinan yang amat kuat. Dan itulah yang dihidangkan oleh Imam al-Ghazali kepada seluruh kaum Muslimin khususnya dan seluruh manusia yang ingin mengetahui dan mendalami Islam dengan lebih jauh lagi dan untuk mereka menjadi seorang Muslim yang benar-benar tahu ajaran Islam yang sebenarnya.
Ihya Ulumuddin dalam bahasa kitab diterjemahkan sebagai "Menghidupkan Ilmu-Ilmu Agama." Kitab asalnya sebanyak empat jilid atau 2,000 halaman dibahagi menjadi empat bahagian besar (Rubu'). Pada hari Isnin, tanggal 14 Jamadil akhir, tahun 505H. (1111M) beliau wafat di Thusia.

PENGENALAN TENTANG MANUSIA

Dalam kehidupan ini, manusia dalam setiap zaman akan berusaha mencari penjelasan apakah yang dikatakan ‘manusia’. Manusia memang sukar dihuraikan dan entiti-entiti manusia sering menjadi bahan pesona dalam pengkajian baik dari aspek falsafah mahupun saintifik.
Dari sudut falsafah barat, Aristotle telah menghuraikan manusia sebagai haiwan yang berfikir, haiwan sosial, haiwan berpolitik dan sebagainya. Seterusnya kemunculan era saintifik dalam disiplin ilmu, manusia dihuraikan pula secara mekanisma dengan melihat manusia seumpama mesin yang berfungsi berdasarkan proses yang mekanikal.
Jika ditinjau dari sudut Islam, manusia mempunyai pengertiannya yang tersendiri. Manusia menurut Islam bukanlah sekadar mesin kerana ia mempunyai intelek dan roh. Ia juga bukan haiwan sekalipun memiliki naluri yang sama dengan naluri kehaiwanan malah ia juga tidak sama dengan malaikat.
Tegasnya, manusia dalam pandangan Islam adalah makhluk ciptaan Allah SWT yang paling istimewa dan mempunyai alamnya yang tersendiri dan tidak dapat disamakan dengan makhluk-makhluk lain. Pada manusia itu sendiri terdapat satu alam yang unik di mana terdapat segala fungsi bagi anggota-anggotanya sehingga kepada perkara-perkara di luar pemikiran manusia. Dengan keunikan ini manusia dalam Islam mempunyai kebesaran dan kemuliaan sebagai makhluk yang istimewa.
Walaubagaimanapun, Ibnu Khaldun telah memberikan satu kesimpulan yang padat tentang manusia di mana 'Allah membezakan manusia dari lain-lain haiwan dengan kesanggupan berfikir, memiliki segala kesempurnaan, kemuliaan dan ketinggian di atas lain-lain makhluk'. Dari sudut pandangan ini, jelas bahawa Islam melihat manusia sebagai makhluk ciptaan Allah yang paling sempurna dan dibekalkan dengan segala kemampuan untuk ia menjadi makhlukNya yang paling mulia.
Dari segi biologikal, telah banyak yang dihuraikan mengenai manusia. Walau bagaimanapun, proses kejadian manusia dari sudut pandangan Islam merangkumi satu proses yang lebih menjangkau. Di dalam al-Quran telah ditegaskan bahawa asal kejadian manusia adalah dari air benih yang kemudiannya menjelma menjadi gumpalan darah. Ini dijelaskan dalam surah al-Insan ayat 2-3 yang bermaksud;

2. Sesungguhnya Kami telah aturkan cara mencipta manusia bermulanya dari air mani yang bercampur (dari pati benih lelaki dan perempuan), serta Kami tetap mengujinya (dengan kewajipan-kewajipan); oleh itu maka Kami jadikan Dia berkeadaan mendengar dan Melihat.
3. kerana keadaan itu tidak mencukupi, maka) Sesungguhnya Kami telah menunjukkan kepadanya (melalui akal dan Rasul) akan jalan-jalan (yang benar dan yang salah; maka terserahlah kepadaNya) sama ada ia bersyukur (dengan beriman dan taat), ataupun ia berlaku kufur (dengan mengingkari kebenaran atau menderhaka).

Proses kejadian manusia yang sebenar menurut Islam merangkumi dua tahap. Di dalam al-Quran telah ditegaskan bahawa manusia itu dijadikan tanpa ia mengetahui apa-apa. Di tahap pertama inilah manusia pertama iaitu Nabi Adam a.s dijadikan. Di peringkat ini iaitu di alam roh, Allah telah menitahkan kepada para malaikat bahawa ia akan menciptakan khalifah-Nya di muka bumi. Dengan ini manusia telah diberi satu penghormatan yang besar dari Allah SWT untuk menjadi wakil-Nya di muka bumi.
Sebagai makhluk yang dimuliakan, Allah telah membentuk manusia dengan kejadian yang yang paling sempurna dan sudah tentu manusia itu dijadikan dari bahan yang mulia tetapi sebaliknya Allah SWT telah memilih tanah lumpur sebagai elemen kejadian manusia sebagaimana difirmankan di dalam al-Quran:

''Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia (Adam) dari tanah kering, (yang berasal) dari tanah lumpur hitam yang diberi bentuk'' (Surah al-Hijr 15:26)

Seterusnya manusia disempurnakan kejadian rupa bentuknya lalu Allah meniupkan sebahagian dari rohNya. Melalui bahan tanah lumpur tersebut Allah telah membentuk jasad manusia dan kejadian ini disempurnakan dengan memasukkan roh ke dalam jasad tersebut. Dengan dua elemen inilah terbentuknya satu ciptaan Allah yang penuh dengan keajaiban.
Sejak Allah menciptakan Adam dan Hawa maka terlahirlah zuriat-zuriat manusia yang seterusnya. Proses kejadian manusia pada peringkat selepas Adam dan Hawa adalah berlainan dari proses kejadian yang dialami oleh keduanya. Di peringkat ini iaitu di tahap kedua, generasi manusia tidak lagi secara langsung tercipta dari tanah tetapi terhasil dari pencantuman benih antara lelaki dan wanita. Walaupun demikian manusia masih mempunyai unsur-unsur jasad dan roh sebagaimana kejadian Adam tetapi dalam bentuk kejadian yang berbeza.
Manusia terjadi dari dua unsur iaitu tanah dan roh. Unsur kejadian manusia itu mewujudkan manusia dalam dua komponen yang berbentuk bi-dimensional. Setiap manusia dikurniakan dengan dua elemen ini malah kedua-duanya amat penting bagi membentuk satu kesatuan manusia. Tanpa salah satu daripadanya manusia tidak boleh lagi dikenali sebagai manusia. Dengan gabungan yang sebati antara dua unsur inilah terciptanya makhluk yang disebut INSAN atau MANUSIA yang mempunyai sifat-sifat keistimewaannya sendiri.
Dalam proses kejadian manusia semasa di alam roh, setelah Allah meniupkan sebahagian dari rohNya ke dalam jasad manusia maka manusia memperolehi nyawa dan kemampuan untuk mengetahui tentang sesuatu. Ini jelas tergambar dari surah al-Alaq 96: 1-5.

''Bacalah (Wahai Muhammad) Dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk), ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhanmu yang Maha Pemurah, yang mengajar manusia melalui Pena dan tulisan, ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.''

Dengan bekalan jasad dan roh, disertakan pula dengan ilmu pengetahuan yang diajar oleh Allah maka manusia telah dilengkapkan dengan segala kemampuan untuk menjadi wakil Allah di muka bumi. Dengan kemuliaan inilah manusia diturunkan ke muka bumi, memegang amanat Allah untuk menunjukkan ketaatannya.

MANUSIA MENURUT PANDANGAN IMAM AL-GHAZALI

  • ROH/ NYAWA (AR-RUH )

Imam al-Ghazali dalam karya agungnya Ihya ‘Ulumuddin telah membezakan di antara roh dengan jasad. Roh adalah nyawa yang menghidupkan manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan dan ia wujud dengan sendirinya, manakala jasad bergantung kepada roh untuk mewujudkan hakikat makhluk itu. Roh yang ada pada manusia kekal dan abadi manakala roh haiwan dan tumbuh-tumbuhan akan musnah. Justeru itu, Imam al-Ghazali membezakan roh manusia daripada roh haiwan dan tumbuh-tumbuhan dengan unsur-unsur tertentu.
Roh mempunyai dua pengertian:-

i- Roh dalam pengertian pertama merupakan jisim lembut yang bersumber dari rongga hati jasmani, dengan perantaraan otot-otot dan urat-urat yang beraneka ragam tersebar ke seluruh bahagian-bahagian tubuh. Perjalanannya di dalam tubuh, pancaran sinar kehidupan, perasaan, penglihatan dan pendengaran itu sama seperti pancaran sinar dari sebuah lampu yang tersebar ke seluruh sudut rumah, sehingga tidak ada satu bahagian pun dari rumah yang tidak terkena sinarannya. Hidup itu laksana sinar yang berada di dinding, sedangkan roh dan geraknya di dalam batin itu seperti geraknya cahaya lampu di sudut-sudut rumah yang digerakkan oleh penggeraknya.

ii- Bermaksud yang halus (latifah) dari manusia iaitu yang mengetahui dan merasa. Ia menggunakan seluruh daya sebagai alat kelengkapannya. Ia tidak tergolong dalam bentuk yang zahir melainkan halus dan ghaib. Ia turun ke dunia ibarat pengembara yang mengunjungi negeri asing untuk melakukan tugasnya, kemudian ia akan kembali ke tempat asalnya.

Roh dalam pengertian kedua ini termasuk sesuatu perkara yang mengagumkan dan bersifat ketuhanan, walaubagaimanapun segala gambaran yang mendalam tentang hakikat roh yang sebenar tidak diizinkan oleh Allah yang Maha Esa. Ini kerana kebanyakan akal dan kefahaman manusia lemah untuk memahaminya.

Di dalam al-Quran telah dinyatakan sebagai berikut:

“Mereka itu bertanya kepada engkau tentang roh. Katakanlah! Roh itu urusan Tuhanku, tiada kamu diberi pengetahuan melainkan sedikit sahaja”

Menurut Imam al-Ghazali, roh manusia mempunyai tiga unsur yang membezakannya dengan roh makhluk-makhluk lain iaitu hati (al-Qalb), nafsu (al-Nafs) dan akal (al-‘Aql).

1. HATI (AL-QALB)

Dari segi fizikal, ia merupakan seketul darah beku (jantung) yang terletak di sebelah kiri dada yang menjadi pusat pertemuan saraf dari seluruh badan. Ia merupakan satu organ yang amat penting yang mengumpul dan menyebarkan darah ke seluruh badan. Ia menjadi sumber nyawa atau kehidupan manusia.
Dari segi rohaninya, ia merupakan satu gejala yang lembut, halus (latifah) dan bersifat ketuhanan. Dalam pengertian ini, hati sebagai sesuatu yang lembut adalah hakikat manusia yang dapat memahami, berilmu dan mengenal Tuhan, iaitu manusia yang menjadi sasaran perintah dan larangan Tuhan, yang diseksa, dicela dan dituntut atau diminta bertanggungjawab terhadap amal perbuatannya.
Menurut Imam al-Ghazali, kemuliaan dan kelebihan manusia berbanding makhluk-makhluk yang lain adalah kerana ia dipersiapkan utuk ber‘makrifat’ (mengenal) kepada Allah SWT, yang mana di dunia ini makrifat itu merupakan keindahan, kesempurnaan dan kebanggaannya manakala di akhirat kelak merupakan bekalan dan barang simpanannya.
Untuk ber‘makrifat’ kepada Allah SWT, manusia haruslah menyiapkan diri dengan hatinya, bukan setakat dengan anggota-anggota tubuh lahir. Jadi, hati itulah yang dapat mengetahui (sifat-sifat, perbuatan dan lain-lain). Hati itulah juga yang dapat mendekatkan seseorang hamba kepada Allah SWT, beramal untuk Allah SWT dan dapat menyingkap apa yang berada di sisi Allah SWT dan di hadapan-Nya.
Anggota-anggota tubuh lahir itu hanyalah sebagai pengikut, pembantu dan alat-alat yang melayani dan menyokong tugas hati. Ini bermaksud, hati menjadi pusat segala keinginan, cita-cita dan kemahuan. Segala anggota tubuh badan yang lain semuanya tunduk di bawah kekuasaannya sama ada untuk melakukan kebajikan atau kemungkaran.
Dengan ini Imam al-Ghazali mensifatkan hati sebagai raja kepada seluruh anggota manusia di mana semua anggota telah bernaluri untuk tunduk kepada hati. Kepatuhan anggota-anggota dan pancaindera kepada hati menyerupai kepatuhan dan ketaatan para malaikat kepada Tuhan.
Hati sebagai raja mempunyai bala tenteranya yang tersendiri bagi menggerakkan kehidupan manusia. Tentera-tentera hati ini terbahagi kepada dua iaitu pasukan lahiriah dan batin. Pasukan lahiriah ialah semua anggota zahir manusia manakala pasukan batin merangkumi pancaindera seperti syahwat dan amarah yang merupakan motif atau penggerak-penggerak serta deria lain yang dapat memberi persepsi seperti pendengaran, penglihatan, sentuhan dan sebagainya.
Di samping itu, hati manusia mempunyai hubungan yang rapat dengan alam ghaib dan melaluinya manusia dapat menerima maklumat-maklumat berhubung dengan alam ghaib dan diberi ilham atau intuisi tertentu. Di sini hati ibarat sebuah cermin yang cerah dan bersih, yang dapat memberi ilham kepada manusia tentang hakikat diri dan Allah SWT.
Sebagai kesimpulan, hati merupakan elemen yang mempunyai peranan yang besar dalam kehidupan manusia. Hatilah yang banyak mempengaruhi tingkahlaku dan melalui hati, manusia mampu mendekati Allah SWT berdasarkan penggerak-penggerak hati sehingga dapat mengetahui urusan dunia dan akhirat.
Apabila hati terlalai maka ia akan terhalang daripada mengenali Allah SWT. Apabila ia tenggelam dengan hal-hal yang selain daripada Allah SWT, maka dialah yang dituntut, dialah yang dihisab, dialah yang dicela. Namun, seseorang itu akan beroleh keuntungan apabila ia membersihkan hati .
Cahaya hati itu akan tersebar ke seluruh anggota tubuh apabila ia kuat beribadah, sedangkan hal ini tidak berlaku jika dia berbuat maksiat dan derhaka kepada Allah SWT. Perbuatan-perbuatan yang keji oleh hati dan anggota-anggota tubuh itu akan menentukan gelap atau hitamnya hati itu kerana setiap wadah atau bekas itu akan menampakan percikan apa yang ada di dalamnya.
Justeru, apabila orang mengenal hatinya, maka ia mengenal dirinya, dan apabila ia mengenala dirinya, maka ia mengenal Tuhannya. Tetapi apabila orang tidak mengenal hati, maka ia tidak mengenal dirinya sendiri, dan apabila ia tidak mengenal dirinya sendiri, maka ia tidak mengenal Tuhannya.
Sesungguhnya terdapat empat elemen asal dalam menentukan sifat manusia terutama dalam tingkahlaku lahiriah dan kualiti-kualiti mentalnya. Elemen-elemen ini saling berkait rapat dan ia terjadi secara berperingkat selepas kelahiran manusia. Sebagaimana yang diketahui, manusia diciptakan dengan fitrah yang suci dan mewarisi sifat-sifat keTuhanan seperti pengasih, penyayang, pengampun dan sebagainya. Ini ditegaskan dalam sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : “Setiap anak dilahirkan dalam keadaan suci” . Walau bagaimanapun setelah kelahirannya, manusia mula menghadapi perkembangan empat unsur yang seterusnya menghasilakn empat sifat umum bagi manusia.
Unsur pertama yang tercipta ialah unsur kehaiwanan (bahimiyya) iaitu kehendak (syahwat) yang bertanggungjawab terhadap kualiti kehaiwanan yang ada pada manusia. Pada satu tahap tertentu, tujuan unsur ini adalah sebagai satu cara melindungi roh dan jasad dari sebarang kemudaratan. Dari unsur inilah terbitnya keinginan untuk makan, minum, tidur dan kegiatan-kegiatan ini jika dikawal dapat memanfaatkan jasad dan roh untuk meneruskan kehidupannya. Walau bagaimanapun, keinginan syahwat ini mempunyai sifat untuk mendesak manusia melepaskan kehendaknya secara bebas. Sekiranya tidak dikawal oleh pertimbangan akal, maka ia akan menolak manusia ke arah perbuatan-perbuatan yang berunsurkan kebinatangan.
Unsur yang kedua ialah unsur kebuasan (sab’iyya) iaitu sifat marah (ghadhab). Tujuannya adalah untuk menjaga dari segala yang dapat mencederakan jasmani. Dalam hal ini, sifat-sifat seperti cemburu, mengajak untuk menangkis dan bertahan merupakan sifat-sifat untuk mempertahankan diri manusia dari segala ancaman. Namun begitu, jika kemarahan tidak terkawal, maka sewaktu manusia dikuasai oleh sifat ghadhab akan timbul perbuatan-perbuatan berbentuk permusuhan, kebencian, menyerang orang lain dan sebagainya.
Seterusnya pada peringkat baligh, akan terbina terbina unsur-unsur kesyaitanan. Di sini, serentak dengan perkembangan akal, manusia mula menggunakan kepandaian yang ada padanya untuk memikirkan tipu daya bagi mencapai tujuan-tujuan tertentu. Sesuai dengan sifat-sifat kesyaitanan, manusia akan mempunyai sifat-sifat yang sering menimbulkan perseteruan dan penipuan.
Akhir sekali ialah penjelmaan unsur-unsur keTuhanan (Ranbbaniah). Unsur-unsur ini membawa kecenderungan kepada manusia untuk mencapai kekuasaan dan kemenangan. Dalam hubungan ini, manusia sering menganggap dirinya lebih berkuasa dan ia mahukan kebebasan, terlepas dari ikatan sifat kehambaan serta ingin memperlihatkan segalanya hatta mengaku dirinya sempurna.
Ringkasnya dalam diri manusia terdapat campuran sifat ini yang kesemuanya terkumpul dalam hati dan penting sebagai potensi-potensi penggerak tingkahlaku manusia. Susunan-susunan sifat manusia ini banayk digambarkan dalam al-Quran. Secara keseluruhan berbagai-bagai sifat yang terbit dari manusia seperti zalim dan bodoh, bersifat tergesa-gesa, melampaui batas dan sebagainya.

2. NAFSU (AL-NAFS)

Di dalam roh manusia juga terdapat unsur al-Nafs. Ia mempunyai dua pengertian:-
Pertama: al-Nafs ialah sesuatu yang abstrak yang merangkumi daya marah dan nafsu syahwat pada manusia. Bagi ahli tasawwuf, al-Nafs (nafsu) merupakan sifat-sifat tercela yang ada pada manusia sehingga mereka mengatakan bahawa tidak dapat tidak nafsu mestilah dilawan dan diperangi. Sabda Nabi SAW, ertinya:

“Musuhmu yang terbesar ialah nafsumu yang berada di antara dua lambungmu”

Kedua: yang bersifat halus (latifah) iaitu hakiki pada manusia atau diri manusia dan zatnya. Apabila ia tenang disebabkan penentangan terhadap nafsu syahwat ia disebut al-Nafs al-Muthmainnah (diri atau jiwa yang tenang). Firman Allah SWT :

“Wahai jiwa yang tenang-tenteram! Kembalilah kepada TuhanMu dengan hati yang puas lagi diredhainya”

Secara khususnya, Imam al-Ghazali telah membahagikan An-Nafs kepada beberapa peringkat.

i- Nafs al-Ammarah : iaitu nafsu yang sedikit pun tidak mempunyai unsur-unsur kebaikan dan sentiasa cenderung kepada kejahatan. Nafsu ini tidak mengambil kira perhitungan akal dan bersifat mendesak untuk melepaskan kehendaknya. Desakan-desakan ini berupaya menundukkan manusia mengikut kemahuannya. Bagi pemilik nafsu ini, mereka tidak akan dapat membezakan antara kejahatan dan kebaikan malah timbul rasa bangga di atas tindakan jahatnya. Ini adalah tahap jiwa yang paling rendah malah kedudukannya adalah lebih rendah daripada binatang. Justeru, jika nafsu ini ada di dalam jiwa manusia, maka manusia itu akan menjadi seorang yang zalim, penjenayah, pemabuk, penzina, penjudi dan sebagainya kerana ia sentiasa tunduk dan patuh menurut kehendah nafsu syahwat dan hasutan syaitan.

Allah SWT telah berfirman:

“Sesungguhnya nafsu itu sentiasa mendorong melakukan kejahatan”

ii- Nafs al-Mulhamah : iaitu nafsu yang mengandungi unsur kejahatan dan kebaikan. Tetapi nafsu yang jahat itu lebih banyak daripada nafsu yang baik. Manusia yang memiliki nafsu ini akan mengalami peperangan di dalam jiwa dan dirinya, iaitu peperangan perebutan antara kebaikan dan kejahatan. Biasanya kejahatan akan memperolehi kemenangan.

iii- Nafs al-Lawwamah : iaitu nafsu yang mengandungi kebaikan dan kejahatan. Namun di sini, nafsu yang baik adalah lebih banyak daripada nafsu yang jahat. Sebagaimana Nafs al-Mulhamah, manusia yang memiliki nafsu jenis ini juga akan mengalami peperangan perebutan antara kebaikan dan kejahatan dan biasanya kebaikan yang akan mencapai kemenangan. Di tahap ini, masih ada sifat-sifat yang terdapat dalam nafs al-Ammarah tetapi telah wujud kesedaran untuk berjuang memeranginya. Nafsu di sini selalu membuat perhitungan mengenai tindak-tanduknya. Al-Ghazali menganggap nafsu ini sebagai diri yang tercela kerana kelalaiannya mengingati Allah SWT. Ia mempunyai kriteria menyesali kegiatan maksiatnya tetapi hatinya belum tetap dengan keimanan yang kukuh. Tujuan mencela ini adalah untuk mengembalikan manusia ke jalan yang benar.

iv- Nafs al-Muthmainnah: iaitu nafsu yang mengandungi kebaikan sahaja. Nafsu ini merupakan nafsu yang tenang dan selamat dari desakan nafsu syahwat serta mempunyai segala sifat kemuliaan. Pengertian nafsu ini secara hakikatnya menunjukkan martabat manusia yang paling mulia dan diperingkat ini nafsu manusia yang sentiasa mendorong untuk melakukan kejahatan telah terbimbing ke jalan yang benar serta telah mendapat rahmat dari Tuhan. Justeru, bagi mereka yang memiliki nafsu ini bermakna mereka adalah golongan yang dijamin akan terus masuk ke syurga tanpa melalui sebarang penyeksaan.

Jadi dapat disimpulkan bahawa nafsu mempunyai dua kekuatan yang amat bertentangan. Kekuatan pertama ialah kekuatan kebaikan seperti pemurah, penyayang, belas kasihan, jujur. Ikhlas dan sebagainya. kekuatan kedua pula ialah kekuatan kejahatan seperti pemarah, pendendam, penipu dan sebagainya.

3. AKAL (AL-‘AQL)

Selain hati dan nafsu, di dalam roh juga terdapat akal (al-‘Aql). Dari segi fizikalnya, ia merupakan otak. Struktur biologikalnya sama di antara manusia dengan haiwan tetapi kuantitinya sahaja berbeza.
Dari segi kerohanian pula, akal merupakan satu keupayaan untuk menggarap ilmu pengetahuan tentang hakikat segala hal. Ia mempunyai daya kekuatan untuk menimbang sesuatu itu, sama ada kebaikan atau keburukan dan melaksanakan titah perintah hati (al-Qalb) sama ada untuk tujuan kebaikan atau kejahatan. Ia berfungsi menyampaikan ilmu pengetahuan kepada hati yang boleh mempengaruhi atau menyucikannya dan mendekatkannya kepada Allah SWT.
Al-Ghazali melihat akal sebagai salah satu entiti kerohanian yang memberikan kemampuan kepada manusia untuk berfikir dan membuat penaklukan bagi mengetahui segala hakikat tentang sesuatu. Akal sebagai tenaga untuk berfikir tentang baik buruknya sesuatu perkara dan merasakan segala perubahan keadaan sehingga dapat mengambil manfaat darinya. Akal mampu membentuk keperibadian manusia dan merupakan hakikat kepada jiwa yang mempunyai ciri-ciri kemalaikatan.
Kedudukan akal dalam kehidupan manusia menurut pandangan Islam adalah jelas sebagai bakat yang menjadikan manusia berupaya menerima tanggungjawab dari Allah SWT. Dengan akal manusia dapat memikirkan untuk melakukan sesuatu, membezakan sesuatu dan membezakan antara hidayah dan kesesatan.
Kesempurnaan amalan tidak akan dicapai selagi tidak menggunakan alat tertinggi dari peralatan jiwa dan tanpanya manusia tidak ada bezanya dengan haiwan. Dengan yang demikian, akal adalah fakulti yang paling tinggi dan mulia dalam diri manusia dan ia tidak dikurniakan walaupun kepada malaikat sekalipun.

AKAL sebagai ‘NUR’

Imam al-Ghazali mengaitkan akal dengan konsep Nur (cahaya). Beliau berpendapat sebenarnya penjelasan akal adalah lebih sesuai disebut Nur kerana ia tidak mempunyai sebarang kekurangan. Justeru, di dalam karya yang dihasilkan, beliau membincangkan beberapa keistimewaan dan keupayaan akal serta membandingkannya dengan keupayaan atau kekurangan mata manusia agar kefahaman tentang keistimewaan akal itu menjadi lebih jelas. Berikut adalah perincian mengenai pendapat beliau tersebut:-

1) Mata sebenarnya tidak dapat melihat dirinya sendiri, tetapi akal dapat melihat dan mengerti dirinya dan sifat-sifatnya sendiri. Akal adalah sesuatu yang membezakan manusia daripada haiwan. Dengan akal, manusia bersedia untuk menerima pelbagai ilmu nazari (ilmu yang memerlukan pemikiran) dan untuk mengatur usaha-usaha yang memerlukan pemikiran.

2) Mata tidak dapat melihat benda yang sangat dekat atau sangat jauh. Akan tetapi bagi akal sama sahaja, baik yang dekat mahupun yang jauh. Akal itu terbuka dan dapat melampaui tanggapan jauh dan dekat. Menurut pandangan Islam, manusia adalah makhluk yang diberi akal yang dapat mengenal Allah dan merealisasikan-Nya. Akal adalah penjelmaan daripada ‘Devine Intelligence’ iaitu tempat datangnya ‘Hikmah Ilahi’. Seterusnya manusia mempunyai keupayaan yang menjadikannya bebas untuk memilih. Dengan keupayaan tersebut dia boleh memilih untuk tunduk kepada Allah dan kehendak-Nya. Dia boleh memilih apa yang membawanya kepada Allah. Walau bagaimanapun kehendak Allahlah yang tidak terbatas kerana Dialah zat yang mutlak sebaliknya kebebasan manusia hanyalah relatif.

3) Mata tidak dapat melihat sesuatu yang berada di belakang dinding, tetapi bagi akal adalah sebaliknya. Akal dapat bergerak dengan bebas sehingga ke alam ghaib dan langit yang paling atas.

4) Mata hanya dapat melihat bahagian luar dari permukaan benda iaitu lahirnya sahaja. Ia tidak dapat melihat bahagian yang ada di dalamnya iaitu yang berada di dalam hati atau hakikat. Bahkan mata hanya sanggup melihat bentuk-bentuk yang bersifat lahiriah jauh daripada hakikat kenyataan. Akal pula dapat memecah masuk ke dalam dasar batin bahagian dalam diri benda-benda itu malah sampai kepada intipati hakikat rahsia sesuatu.

5) Mata hanya dapat melihat bahagian-bahagian dari benda yang wujud. Mata tidak dapat melihat suara, bau-bauan, rasa (makanan), rasa panas, rasa dingin, mendengar dan sebagainya. Mata juga tidak dapat melihat rasa kejiwaan seperti kegembiraan, sukacita, pedih dan lain-lain. Tetapi akal dapat menangkap semua yang telah disebutkan itu kerana ia mengetahui zahir dan batin, bebas menjelajahi dan membuat penilaian dan keputusan yang tepat serta benar.

6) Penglihatan mata tidak boleh melihat benda yang tidak terbatas. Mata hanya dapat melihat benda yang berjasmani. Tetapi akal dapat memahami benda yang tidak terbatas. Ini kerana akal mengenal sesuatu yang abstrak, seperti konsep, idea dan tanggapan.

7) Mata sering menganggap yang besar itu kecil. Sebaliknya akal mengetahui bahawa bintang-bintang ataupun matahari lebih besar bahkan berganda-ganda lebih besar daripada bumi. Justeru, apabila akal itu suci dan terpisah daripada perasaan bimbang dan khayal, maka ia tidak akan merasa bersalah, malahan akan dapat melihat sesuatu sebagaimana adanya.

Oleh itu, dapat difahami bahawa cahaya (Nur) itu dapat dinamakan sebagai mata dan disebut cahaya mata (Nurul’ain). Namun yang lebih tepat dan patut dinamakan cahaya itu adalah akal iaitu cahaya akal (Nurul’aql).


KESIMPULAN

Kesimpulannya, roh manusia mengandungi tiga unsur iaitu hati, nafsu dan akal. Hati mempunyai sifat semulajadi yang positif, iaitu mencintai kebaikan. Nafsu pula mempunyai dua unsur yang bertentangan iaitu kebaikan dan kejahatan yang berupaya mempengaruhi hati. Jika nafsu baik lebih banyak maka hati akan bertambah baik. Sebaliknya jika nafsu jahat itu banyak, maka hati akan dikuasai oleh kejahatan. Akal pula berfungsi mencari ilmu untuk tujuan membersihkan hati ke arah kebaikan, tetapi berupaya juga untuk bergerak ke arah kejahatan. Walaubagaimanapun, ia juga berfungsi mencari jalan yang paling berkesan untuk melaksanakan kehendak hati, sama ada untuk tujuan kebaikan atau kejahatan. Al-Ghazali menjelaskan bahawa rohanilah yang menguasai jasad manusia. Segala punca deria rasanya seperti mata, telinga, mulut, lidah, akalnya dan anggota badan yang lain seperti tangan, kaki, kulit serta segala organ yang ada di dalam badan manusia semuanya tunduk kepada titah perintah rohani manusia. Dalam erti kata yang lain, jiwa manusia itu sentiasa memerintah jasadnya dan badan hanya beraksi sebagai pengikut yang setia. Jiwa yang berbakti akan memperolehi kesenangan dan ini dirasai oleh badan. Jikalau jiwa melakukan kejahatan dan mendapat hukuman, badan turut merasakan balasan yang diterima. Walaubagaimanapun, kesengsaraan yang dihadapi oleh jiwa yang melakukan kejahatan itu lebih daripada apa yang dirasai oleh badan, dan inilah yang dikenali sebagai penyakit jiwa. Al-Ghazali menganggap bahawa jasad manusia adalah tentera kepada hati, jiwa atau rohani manusia.

RUJUKAN

• A. Abdul Mujieb AS, (1995), Rahsia Keajaiban Hati, Kuala Lumpur: Darul Taqwa.
• Azlan Khalili Shamsudin, (1991), Al-Ghazali dan Konsep Al-Nur, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
• Deden Himawan, (2007), Tip-Tip Efektif Pimpinan Rohani Al-Ghazali Buat Remaja, Kuala Lumpur: PTS Milennia SDN BHD.
• H. Rus'an, (2000), Intisari Falsafah Al-Ghazali, Selangor: Thinker's Library Sdn. Bhd..
• H. Rus'an, (1982), Menyingkap Rahasia Kebahagiaan, Singapura: Pustaka Nasional PTE LTD.
• Imam Al-Ghazali, (2005), Pembersih Kalbu, Kuala Lumpur: Jasmin Enterprise.
• Imam Al-Ghazali, (2000), Rahsia Hati yang Menakjubkan, Kuala Lumpur: Jasmin Enterprise.
• Mahmood Nazar Mohamed, (2001), Pengantar Psikologi : Satu Pengenalan Kepada Jiwa dan Tingkah Laku Manusia, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
• Nor Anisah Abdul Malek, (1992), Konsep Manusia Menurut Pandangan Islam, Kuala Lumpur: Arena Ilmu Sdn. Bhd.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...