August 08, 2009






PERHATIAN UNTUK PARA DA'IE !!! (^_^)

Ayuh baca informasi ini.. pastikan perkara dibawah dibiasakan olehmu wahai Para Pendakwah yang dirahmati Allah..

Bersemangat : Pastikan sentiasa bersemangat dalam melakukan gerak kerja dakwah. Jangan hanya berdakwah kepada masyarakat mengikut ‘mood’ dan dengan terpaksa. Ini kerana, setiap pekerjaan yang dilakukan secara acuh tidak acuh, sambil lewa dan main-main maka natijahnya juga kurang memuaskan. Sampai bila-bila pun keadaan takkan dapat berubah. Kemaksiatan dan kemungkaran tidak akan dapat diatasi, lantas kebaikan juga akan berada di takuk lama. Bukan itu sahaja, mesej yang kita hendak sampaikan juga akan sukar untuk diterima oleh mad’u. Sedangkan dakwah itu sendiri bermatlamat untuk mengajak, menyeru dan mempengaruhi manusia supaya sentiasa meningkatkan kerja-kerja kebaikan, memajukan diri dan dalam masa yang sama meninggalkan keburukan demi sebuah perubahan yang lebih baik.

Patuh
: Patuh?? Sedarkah kita dari siapakah datangnya perintah dakwah ini? Tentunya dari Allah bukan? Justeru, setiap tindakan yang kita lakukan dalam menyebarkan dakwah Islam sudah semestinya berasaskan kepada perintah dan larangan Nya. Apa yang baik perlu dilaksanakan dengan seikhlas hati, manakala segala yang buruk pula sangat-sangat dituntut untuk ditinggalkan tanpa ragu-ragu. Ingatlah bahawa, tugas serta peranan kita sebagai para da’ie tidak pernah bernoktah dan akan sentiasa dinilai oleh masyarakat. Justeru, pastikan kita tidak cuba-cuba untuk lakukan perkara yang dilarang keras olehNya sebelum kita mengajak orang lain. Pastikan sikap kepatuhan dan ketaatan kepada Allah sinonim dengan jiwa kita sebagai seorang da’ie.


Fokus
: Dalam berdakwah kepada masyarakat, setiap pendakwah perlulah benar-benar fokus dengan tugas yang dilaksanakan. Usaha dakwah tidak boleh dipandang remeh dan dilakukan secara sambil lewa. Perlu diberi perhatian! Mesej dakwah mestilah jelas, nyata dan tidak kelihatan mengarut, dan ia harus disampaikan dengan cara yang paling sesuai dengan situasi mad’u. Maka mad’u akan mudah menerima ajakan kita tanpa adanya perasaan keliru dan ragu-ragu. Oleh itu, sebarkan dakwah dengan sistematik dan tenang tanpa adanya sebarang unsur paksaan dan tekanan.


Seimbang
: Untuk menjadi pendakwah yang baik, seseorang perlu memastikan bahawa dirinya benar-benar seimbang dalam segala aspek. Pendakwah tidak boleh hanya menumpukan usaha-usaha yang cenderung kepada akhirat semata-mata tanpa memngambil kira urusan keduniaan. Justeru, mereka wajar memiliki keseimbangan dan kelebihan dari aspek ilmu dunia dan akhirat. Ia bermaksud para pendakwah seboleh-bolehnya mestilah memiliki pakej yang boleh dikatakan lengkap seperti memiliki penampilan diri serta akhlak yang terpuji, kemampuan fizikal, kesihatan jasmani, kekuatan akal, rohani dan sebagainya. Sekiranya pendakwah hanya memiliki ilmu akhirat sahaja tetapi tidak menguasai ilmu duniawi, maka agak sukar bagi mereka untuk menguasai mad’u yang terdiri daripada pelbagai latar belakang, bahkan kemungkinan besar mereka juga akan dipandang rendah oleh masyarakat. Jadi, ia pastinya akan memberi impak yang tidak baik dalam usaha menyebarkan agama Islam yang sempurna.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...