February 11, 2011

SABAR





SABAR bukan bermaksud menerima sahaja keadaan serta menanti perubahan tanpa usaha. Sebaliknya, umat Islam disuruh bersabar dan serentak dengan itu melakukan amal serta usaha. Justeru, Tuhan menyuruh umat Islam mencontohi kesabaran rasul-rasul ulul azmi.

Tuhan menyatakan dalam surah al-Ahqaf ayat 35 yang bermaksud “Bersabarlah sebagaimana bersabarnya rasul-rasul ulul azmi”. Rasul-rasul yang dimuliakan Tuhan ini adalah Nabi Nuh, Ibrahim, Musa, Isa dan Muhammad. Mereka beramal serta berusaha dengan bersungguh-sungguh di samping bersabar. Sebagai contoh, Nabi Nuh membina bahtera, Nabi Ibrahim memecahkan berhala dan berdakwah kepada Namrud, Nabi Musa berdakwah kepada Firaun dan membawa Bani Israel keluar dari Mesir. Demikian juga Nabi Isa dan Nabi Muhammad s.a.w.

Di dalam al-Asas fi at-Tafsir oleh Sa’id Hawwa disebutkan, sabar mempunyai 3 bahagian. Pertama, sabar dalam meninggalkan maksiat. Kedua, sabar dalam melakukan ibadah. Ketiga, sabar apabila ditimpa ujian dan musibah.

Al-Quran menceritakan berkenaan Nabi Yusuf yang sabar semasa diuji untuk melakukan maksiat. Pada suatu masa, Zulaikha menggoda beliau. Tetapi Nabi Yusuf berjaya melarikan diri daripadanya. Walau bagaimanapun, Zulaikha mengejar beliau dan menarik bajunya sehingga koyak. Akhirnya mereka terserempak dengan suami Zulaikha. Pada masa itulah Nabi Yusuf difitnah dan kemudiannya dipenjarakan walaupun beliau sebenarnya tidak bersalah.

Tuhan menceritakan dalam surah Yusuf ayat 26 hingga 28 yang bermaksud “ Yusuf berkata (kepada suami Zulaikha), ‘Dia menggodaku untuk dirinya’, dan seorang saksi dari keluarga wanita itu telah memberikan penyaksiannya,’Jika bajunya koyak dari hadapan maka wanita itu benar dan Yusuf adalah pendusta. Dan jika baju itu koyak dari belakang maka wanita itulah yang dusta dan Yusuf adalah seorang yang benar’. Maka tatkala suami wanita itu melihat baju Yusuf terkoyak dari belakang berkatalah ia (kepada isterinya), ‘Sesungguhnya ini adalh antara tipu dayamu, sesungguhnya tipu dayamu adalah besar’.” Nabi Yusuf mampu menolak godaan Zulaikha kerana iman yang bersinar di hatinya.

Dalam konteks ibadah, sahabat-sahabat nabi adalah golongan yang amat tinggi kesabarannya demi melaksanakan ibadah. Selepas peristiwa hijrah, umat Islam diwajibkan berperang demi menegakkan kebenaran. Semasa sedang berperang, mereka tetap disuruh menegakkan sembahyang fardu tanpa pengecualian. Walaupun Tuhan memberikan beberapa kelonggaran kepada mereka berkenaan cara sembahyang pada masa itu, namun pelaksanaan sembahyang tetap diwajibkan.

Sifat sabar tidak mungkin wujud tanpa iman yang mendalam. Sejak awal lagi umat Islam menyedari dunia adalah tempat ujian dan tribulasi. Syurga adalah tempat kesenangan yang abadi. Justeru, umat Islam perlu bersedia untuk bersabar dengan segala ujian di dunia ini. Pada masa yang sama, berusaha dengan bersungguh-sungguh bagi mencapai matlamat yang ditetapkan. Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 155 yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami pasti mengujimu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada mereka yang sabar.”

Walaubagaimanapun, ujian yang menimpa tidak berterusan selama-lamanya. Ia hanyalah satu proses pendidikan dan pembangunan diri yang diperlukan sebelum kejayaan dan kemenangan dicapai. Inilah yang dijanjikan Allah dalam surah as-Syarh ayat 5-6 yang bermaksud: “Sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kesenangan. Sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kesenangan”. Hal ini diperkukuhkan lagi melalui hadis Nabi yang diriwayatkan oleh Imam Tirmizi yang bermaksud:”Sesungguhnya kejayaan bersama-sama dengan kesabaran, kelapangan bersama-sama dengan kesusahan dan sesungguhnya beserta dengan kepayahan adalah kesenangan”

Selain itu, hikmah dari ujian ialah menggugurkan dosa. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, nabi bersabda: “Tidak ada satu pun musibah yang menimpa ke atas Muslim, sama ada kepenatan, sakit yang kronik, kerisauan, kesedihan, sebarang kesakitan dan kemurungan sehingga duri yang terkena di badannya, melainkan ia akan menjadi kifarat baginya dari dosa-dosa”.

Oleh sebab itu, bukanlah perkara pelik apabila umat Islam berterima kasih serta bersyukur kepada Tuhan apabila ujian menimpa mereka. berhubung dengan ini, Saidina Umar al-Khattab pernah berkata; “Apabila aku mendapat ujian duniawi, aku bersyukur kerana terdapat padanya 4 nikmat. Pertama, ujian itu tidak berkaitan dengan agama. Kedua, ia tidak begitu besar berbanding ujian agama. Ketiga, aku akan mendapat keredhaanNya dengan ujian itu dan keempat, aku mengharapkan pahal daripadanya.” Inilah sifat dan fikiran positif yang sewajarnya dicontohi.

Sumber: Tip-Tip Cemerlang Daripada Al-Quran, Dr. Danial Zainal Abidin.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...