August 06, 2009

Amar Maaruf Nahi Mungkar

"Barangsiapa di antara kamu yang melihat akan kemungkaran, maka hendaklah ia mengubahnya dengan tangannya. Jika sekiranya ia tiada berkuasa, maka hendaklah ia mengubahnya dengan lidahnya. Jika sekiranya ia tiada juga berkuasa, maka hendaklah ia mengubahnya dengan hatinya. Dan yang demikian itu (iaitu mengubah dengan hatinya) adalah selemah-lemahnya iman." H.R Muslim

Demikian telah digambarkan oleh Rasulullah SAW melalui sabda baginda tentang betapa pentingnya setiap daripada kita berusaha menyeru manusia ke arah kebaikan dan mencegah kemungkaran di atas muka bumi ini walau dengan apa cara sekalipun. Kita harus sedar bahawa usaha amar makruf nahi mungkar ini sebenarnya bukan sahaja dipikulkan ke atas para pendakwah sahaja bahkan setiap manusia yang mukallaf, sempurna aqal serta pemikirannya mempunyai tanggungjawab yang tidak kurang pentingnya.

Suatu perkara yang kita perlu tahu adalah usaha amar makruf nahi mungkar sangat menuntut kepada keikhlasan, kebersihan dan kekentalan hati tanpa mengenal erti putus asa. Istilah takut atau ‘give up’ tidak patut wujud dalam kamus hidup seorang pendakwah melainkan perasaan itu hanya dijuruskan kepada Allah SWT sahaja. Seandainya masih wujud perasaan lemah dan was-was di dalam diri para pendakwah, mana mungkin usaha dakwah itu dapat dilaksanakan dengan baik. Ia berkemungkinan besar akan membantutkan usaha dakwah, lantas kemaksiatan serta kejahilan akan bermaharaja lela yang akhirnya akan mengundang murka daripada Allah. Justeru, didiklah diri agar tidak mudah patah semangat dan lemah dalam perjuangan menyebarkan agama Allah kepada masyarakat. Lihatlah bagaimana sejarah telah menukilkan keberanian para pejuang Islam dahulu kala yang sangat teguh dan berani sehingga pernah suatu ketika Islam sangat digeruni oleh pihak musuh. Jadi, marilah kita bersama-sama kembalikan keizzahan Islam dengan beramal serta berdakwah dalam erti kata yang sebenar.

Sampaikanlah isi-isi ajaran Islam dengan penuh iltizam, hikmah dan bersemangat. Fahamilah bahawa Islam merupakan semulia-mulia agama yang diiktiraf di sisi Allah s.w.t. Maka , sudah pasti usaha-usaha bagi menyebarkan risalah Islam itu sudah menuntut kepada suatu uslub yang penuh dengan kebaikan, hati yang sarat dengan penghayatan, semangat yang luar biasa serta tekad yang jitu, tidak secara main-main dan membuta tuli.

Akhirnya, seruan untuk para Da’ie, bekerjalah tanpa mengenal lelah, kerana jika kita melakukannya dengan niat yang ikhlas, istiqamah dan komited, pastinya ia tidak sia-sia dan Allah akan menilainya sebagai suatu ibadah. Maka, ayuhlah kita berlumba-lumba melakukan kebaikan. Jangan biar kita muflis di akhirat kelak hingga tiada satu bekalan pun yang dapat dibawa untuk berhadapan dengan Pemilik jiwa kita kelak.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...