August 08, 2009

Bakhil

Bakhil merupakan sifat tercela yang sangat dibenci oleh Islam. Sebaliknya Islam amat menggalakkan umatnya agar hidup sebagai hamba yang bersifat pemurah lantaran sesuatu yang dimiliki itu hakikatnya milik mutlah Allah jua. Mereka yang memiliki sifat bakhil seolah-olah tidak mensyukuri nikmat kurniaan Allah yang sewajarnya dikongsi bersama insan-insan lain. Sebenarnya tidak rugi seandainya kita bersedekah atau menyumbang sesuatu kepada mereka yang memerlukan. InsyaAllah, sekiranya pada hari ini kita telah memenuhi keperluan saudara kita, maka di akhirat nanti Allah pasti memelihara kita dan setiap urusan kita pasti akan dimudahkan oleh Nya.

Justeru, buat para pendakwah! Jangan sekali-kali kita cuba mengamalkan sikap keji ini. Hiduplah sebagai seorang insan yang dikenali dengan sifat kemurahan hati, bukannya sikap bakhil yang tidak bertempat. Hulurkan sumbangan walaupun sedikit kepada mereka yang memerlukan sama ada dalam bentuk material, ilmu atau tenaga yang dimiliki. Hal ini kerana sikap bakhil sangat merugikan diri, mereka yang bakhil bukan sahaja akan diseksa di akhirat kelak.. bahkan di dunia lagi hidup mereka tidak akan merasa bahagia kerana rezeki yang diperolehi sentiasa dirasakan tidak mencukupi.

Sebagaimana petikan dari kata-kata Saidina Abu Bakar r.a yang bermaksud; “Orang-orang yang terlalu bakhil mereka tidak akan terlepas salah satu dari tujuh kemungkinan ini iaitu:

1. Allah memberikan kuasa kepada seorang pemerintah yang zalim, lalu pemerintah itu akan merampas dan membinasakan hartanya setelah menjatuhkan maruah dirinya.

2. Allah akan menimpakan ke atasnya bencana dunia seperti berlaku kebakaran, kecurian, banjir, gempa bumi dan sebagainya.

3. Setelah ia meninggal kelak, hartanya akan diwarisi oleh mereka-mereka yang akan mempergunakannya pada jalan maksiat dan kemungkaran.

4. Allah akan menimpakan suatu penyakit yang berpanjangan sehingga ia terpaksa membelanjakan semua hartanya itu bagi mengubati penyakitnya.

5. Dia menanamkan hartanya itu pada suatu tempat, lalu ia sendiri terlupa sehingga tidak boleh menemuinya lagi.

6. Terlintas dalam fikirannya untuk mendirikan suatu bangunan di atas tanah yang rosak, yang mengakibatkan hartanya sendiri musnah.

7. Allah s.w.t meninggikan syahwatnya sehingga ia sendiri yang akan memusnahkan.

Akhirul kalam… beringat-ingatlah.. moga kita tidak termasuk di kalangan orang-orang bakhil.. rugi dunia rugi akhirat. Na’uzubillahi min zalik.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...