August 06, 2009

^^KISAH TAULADAN^^



Diceritakan bahawa salah seorang sahabat Nabi s.a.w. yang telah menjadi penduduk Syam, sangat gemar meminum arak. Maka perkara itu pun disampaikan kepada Khalifah Umar Ibnul-Khattab.
Maka khalifah Umar menulis sepucuk surat kepada sahabat tersebut , yang berbunyi:

“Ha Mim. Kitab ini (al-quran) diturunkan dari tuhan yang Maha Kuasa dan Maha Tahu. Pengampun dosa, Penerima taubat, Keras HukumanNya dan banyak memberi. Tiada Tuhan selain daripadaNya. Hanya kepadaNyalah kesudahan segala perkara.” (Surah al-Mukmin : 1-3).
Setelah dia membaca surat Khalifah yang mengandungi ayat-ayat Al-quran itu, gementarlah seluruh tubuhnya dan tahulah dia bahawa Khalifah telah mengetahui tentang dosa yang sering dilakukannya itu. Maka dengan serta-merta dia menyesali dirinya dan bertaubat dari melakukan maksiat tersebut.

Lihatlah betapa bijaknya Khalifah Umar dalam mengambil tindakan yang sesuai demi untuk menyedarkan sahabat ini. Kalau tidak, Khalifah Umar memang terkenal dengan sikapnya yang keras, tidak pandang bulu. Tetapi kepada sahabat ini, tegurannya hanya dengan menulis beberapa potong ayat Al-Quran saja, sehingga menyebabkan orang itu menyesali dirinya dan bertaubat.

Kesimpulannya, kepada para pendakwah.. berusahalah untuk menjadi seorang pendakwah sebagaimana Khalifah Umar. Laksanakan kewajipan amar makruf dan nahi mungkar dengan cara yang paling baik dan berhikmah dalam setiap keadaan. Jangan bertindak atas dasar emosi semata-mata. Tetapi, gunalah nikmat kewarasan akal yang telah dikurniakan oleh Allah dalam berdakwah dengan cara yang paling berhikmah. Mudah-mudahan dakwah kita sentiasa dapat diterima baik oleh masyarakat dan mendapat redha Allah s.w.t.

Semoga Allah Ta’ala terus memberikan kita petunjuk ke jalan yang benar, agar mudah bagi kita untuk mematuhi segala perintahNya dan menjauhi segala laranganNya, lantas dapat menjalankan tugas amar ma’ruf dan nahi mungkar tersebut dengan baik dan sempurna menurut sebagaimana yang diperintahkan.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...