August 08, 2009

........Bila BONDA Berbicara.........




Atas nama kasih dan sayang serta rasa rindu yang berat dibendung, bertitik tolak atas kecintaan kerana Allah maka Ibu lafazkan kalimah yang sarat dengan mahabbah, ucapan yang dilafazkan bukan kerana adat tapi kerana ibadah, Salamullahi Alaik Warahmatullahi Wabarakaatuh.
Moga anakanda senantiasa berada dalam lembayung redha dan maghfirah Allah.

Ibu baru dengar dari bapamu berita dari bumi Mesir ini. Berita tentang sekolah kamu dalam ilmu dukun ini. Ibu sedar peritnya anakanda sungguh-sungguh dalam studi di sana. Namun, apakah daya. Kalau Tuhan masih belum izin dikecap sukses dalam peperiksaanmu, usahlah anakanda merasai bahawa segala-galanya sudah berakhir.

Ibu tahu yang Ibu ini bukan orang-orang bijak. Tidak pernah jejak kaki ke sekolah menengah. Gagah-gagah juga tahu baca. Tapi Ibu ini tahu putus asa ini tidak termaktub dalam sifat-sifat orang mukmin. Malah tergolong dari mereka yang kufur.

Oh anakku,

Kalau kau kira bahawa nasihat Ibu ini boleh kau rangkul lalu dipeluk erat buat bekalan dirimu, maka dengarlah.Bangkitlah anakku..Usahlah kau kusutkan kepalamu dengan kegagalan lalu. Buang jauh-jauh. Lalu kau buka kembali lipatan baru walaupun hanya selembar kecil. Ya, masa yang kau ada sekarang mungkin menghimpitmu, dengan timbunan kitab kuliah yang belum diselak ditambah pula kawan-kawanmu yang nampak seolah-olah jauh padamu tapi ingat semua ini perlu bermula dari diri engkau nak, dari dirimu!!

Mungkin kau nampak orang seolah-olah tidak peduli akan kegagalanmu. Tidak! Tidak sama sekali-kali. Teman yang lain berkongsi duka yang sama, umpama mukmin. Walau di kaki lukanya, namun di tangan pijarnya terasa. Jangan segan-segan pinta bantu dari mereka. Tak termampu beban itu ditanggung sendirian. Lantas teman yang dekat itulah kau damping, kau ambil manfaat dari mereka.

Kami sekeluarga acap kali mendoakanmu. Ibu ini sendiri selalu sebut nama anak-anak ibu termasuk anakanda yang dikasihi. “Ya Allah, Kau kurniakan kejayaan kepada anak-anakku, si fulan, si fulan dan si fulan...”. Doa kudus dari Ibumu yang kejauhan. Yang punya harapan yang besar, tidak hanya jayanya di dunia jua di akhirat.

Anakanda yang Allah muliakan,

Kekangan masa mungkin jadi halangan terbesar bagimu. Tapi kau harus ingat, kalau dikatakan nyawamu sudah sampai ke pangkal pinggang, jangan jadikannya alasan buatmu untuk berhenti amalmu kepada Allah. Kalau sisa seminggu ini sahaja berbaki, jangan jadikannya alasan untuk engkau kembali bangun. Tinggalkanlah laman maya itu, bual-bual kosong malah mengelamun itu kau buang jauh-jauh. Bisikan-bisikan syaitan untuk berserah sahaja, kau usir jauh-jauh kerana itulah jarum syaitan yang halus.

Ingatlah anakku, para cerdik pandai ada berujar,“Kejayaan yang sebenarnya ialah kejayaan yang dibina di atas puing-puing (serpihan dari keruntuhan) kegagalan”.

Duhai anak yang tercinta,

Saat Ibu tulis surat ini, dalam limpahan cahaya lampu minyak tanah, dapat Ibu lihat wajah ayahmu yang kepenatan. Letih membanting tulang mengurus bendang di kampung. Penatnya berbaloi jika dapat dia lihat kejayaanmu. Menjulang sukses yang berkah. Berkah yang datang dari kepatuhanmu pada Tuhanmu. Anakanda, pada Allahlah engkau berserah setelah segalanya engkau usahakan.

Warkah ini Ibu akhiri dengan iringan doa dan harapan.

“Ya Allah, Engkau kurniakan raja segala cekal dan ratu segala tabah untuk anakku menghadapi ujian yang berat ini. Campakkan rasa ketundukan dalam dirinya agar usahanya terpimpin dalam acuan syara’Mu. Ya Allah, padaMu kami berserah dan padaMu kami memohon pertolongan. Perkenankanlah”.

Yang Ikhlas,
Bonda

Dipetik dari: http://kalam-puncak.blogspot.com

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...