Islam atau Jahiliyyah??

Namun selepas kedatangan Islam, segala-galnya berubah. Zaman kegelapan bertukar cerah. Sesungguhnya Islam melalui perutusan Nabi Muhammad SAW telah membawa seribu rahmat buat seluruh umat manusia. Islam membina kembali tamadun manusia, memuliakan dan mengangkat martabat wanita yang telah sekian lama diinjak-injak, memurnikan akidah yang telah rosak dan menghapuskan segala sistem Jahiliyyah yang ada. Islam juga telah mengajar manusia beramal dengan akhlak yang mulia dan menitik beratkan persaudaraan agar tidak wujud lagi persengketaan. Bukan itu sahaja, Allah mengutuskan juga Kitab Al-Quran yang sangat sempurna isi kandungan agar boleh dijadikan panduan oleh manusia dalam kehidupan. Sejarah telah membuktikan bahawa dengan hadirnya Islam telah merubah dunia ke arah 1001 kebaikan.
Namun begitu, di akhir zaman ini kita dapat melihat bahawa ciri-ciri Jahiliyyah sebagaimana dahulu telah kembali bertapak di dalam masyarakat. Kemaksiatan sudah dianggap biasa dan bermaharajalela. Jiwa umat kembali berpenyakit dengan al-wahn (cintakan dunia). Ilmu-ilmu agama tidak dititikberatkan sebaliknya ilmu dunia yang diburu. Saban hari manusia berlumba-lumba mengejar kemewahan dunia. Namun, akhirat diabaikan. Solat ditinggalkan, apatah lagi puasa zakat dan ibadah-ibadah lain. Masing-masing seolah-olah sedang nyenyak tidur akibat terpesona dengan indahnya dunia. Ini menunjukkan bahawa telah berlaku ketidakseimbangan dalam kehidupan umat manusia. Tambahan pula dengan semakin berkurangnya para alim-ulama’ warisan nabi pada akhir-akhir ini, fenomena jahiliyyah kelihatannya kurang diberi perhatian lantaran tiada sesiapa lagi yang rasa bertanggungjawab untuk membincangkan dan menanganinya.
Justeru, di zaman yang penuh dengan mehnah ini, marilah kita sama-sama berdoa semoga Allah menetapkan hati-hati kita agar terus berada di jalan dan petunjukNya. Walaupun kita sudah tidak lagi sezaman dengan Rasulullah SAW, namun sangat-sangat diharapkan supaya Allah terus menguatkan kita serta menjadikan kita istiqamah serta berpegang teguh dengan ajaran kitab serta Sunnah tinggalan nabi kita yang mulia sejak berkurun lamanya. Ingatlah walau seindah mana pun dunia ini, syurga Allah di akhirat sana adalah lebih indah. Dunia ini sebenarnya hanyalah salah satu tempat persinggahan dalam misi pengembaraan kita menuju negeri akhirat yang kekal abadi. Oleh itu, kita perlu sedar dan tetapkan fokus dan hala tuju mulai sekarang, siapkan bekalan yang secukupnya supaya kita bisa tiba ke destinasi akhirat dalam keadaan yang membahagiakan. Ayuhlah kita bersama-sama memikirkan masalah umat di sekililing kita. Sanggupkah kita membiarkan saudara kita tersimpang di saat-saat mereka sudah hampir tiba di destinasi? Mungkin tidak bukan?
Oleh itu, Fikir-fikirkanlah mana yang dirasakan lebih baik, adakah keadaan jahiliyah yang dirindui atau ketenangan Islam yang diimpi?? Ketahuilah sesungguhnya sebaik-baik agama di sisi Allah adalah ISLAM.
No comments:
Post a Comment