August 08, 2009

Kefahaman Ayat 125 surah Al-Nahl Dari Kacamata Uslub Dakwah





Al-Quran merupakan kalam Allah yang sempurna dan mulia. Di dalamnya terkandung segala keperluan, hukum-hakam dan bahan rujukan yang diperlukan oleh seluruh umat manusia dalam menjalani kehidupan di muka bumi ini. Dalam aspek dakwah juga terdapat beberapa ayat yang boleh dijadikan pedoman. Sebagaimana firman Allah swt yang bermaksud:
“Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk." (Al-Nahl: 125)

Ayat di atas telah menjelaskan beberapa garis panduan dalam perlaksanaan dakwah iaitu kewajipan menyeru manusia ke jalan Allah. Seruan inilah yang dinamakan dakwah. Dalam proses penyeruan ini hendaklah diketahui cara-caranya, supaya dakwah itu boleh sampai kepada matlamatnya. Inilah yang dikatakan kemahiran dan kaedahnya. Kaedah dakwah yang dibentangkan secara tidak langsung oleh ayat tadi ialah:

1) USLUB HIKMAH

Uslub hikmah dalam menyampaikan dakwah dapat dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu:
•Hikmah yang berhubung dengan sifat-sifat pendakwah di jalan Allah iaitu para pendakwah hendaklah berakhlak sebagaimana akhlak Nabi saw seperti benar, amanah, bijaksana dan tabligh, berlaku adil, tidak lekas marah, sabar dan mempunyai pengetahuan serta pengalaman yang luas.

•Hikmah berhubung dengan isi kandungan dakwah. Ia bermakna pendakwah ke jalan Allah hendaklah menyampaikan isi kandungan dakwah itu dari kandungan Al-Quran dan segala penerangan hendaklah menepati kebenaran serta dalil-dalil yang kuat dan tepat yang boleh mengurangkan keraguan. Kata-kata yang digunakan hendaklah sesuai dengan kemampuan pendengar.

•Hikmah yang berhubung dengan alat dan strategi dakwah. Segala alat dan strategi yang digunakan betul-betul sesuai dengan tempatnya untuk mencegah berlakunya kerosakan kepada gerakan dakwah itu sendiri.

2) USLUB NASIHAT YANG BAIK


Nasihat yang baik bermaksud pesanan atau peringatan yang disampaikan dengan sebaik-baik percakapan dan perlakuan. Ia haruslah bertepatan dengan apa yang disukai oleh masyarakat tentang kebaikan sehingga mereka bersedia menerimanya dan benci kepada kejahatan serta mereka akan bersedia menjauhinya.

Boleh juga difahami dengan nasihat yang baik ialah nasihat yang masuk ke dalam hati dengan halus dan mendalam, menembusi perasaan dan jiwa dengan lembut, kerana berlemah lembut dalam nasihat itu biasanya boleh memberi petunjuk kepada hati yang sesat dan boleh menjinakkan hati yang liar dan boleh mendatangkan natijah yang lebih baik.

Cara nasihat yang baik bergantung kepada perbandingan di antara iman dan kufur, antara kebaikan dan kejahatan, antara taat dan maksiat, antara halal dan haram. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

“Sesungguhnya telah berlaku sebelum kamu (contoh kejadian-kejadian berdasarkan) peraturan-peraturan Allah yang tetap; oleh itu mengembaralah kamu di muka bumi, kemudian perhatikanlah bagaimana akibat orang-orang yang mendustakan ( Rasul-rasul) .” (Ali-‘Imran: 137)


3) USLUB BERBINCANG DENGAN CARA BAIK

Para da’ie hendaklah menjalankan dakwahnya dengan mengikuti cara yang lemah-lembut dalam perkataan dan menjauhkan kelakuan yang kasar dan kesat.

Gunakanlah sebaik-baik cara berhubung dengan tujuan untuk tujuan mendekati jiwa pendengar yang didakwahkan itu. Perancangan cara begini adalah lebih berpengaruh dan berkesan. Firman Allah s.w.t yang bermaksud:

“Dan janganlah kamu berbahas dengan Ahli Kitab melainkan dengan cara yang lebih baik, kecuali orang-orang yang berlaku zalim di antara mereka; dan katakanlah (kepada mereka) : “Kami beriman kepada (Al-Quran) yang diturunkan kepada kami dan kepada (Taurat dan Injil) yang diturunkan kepada kamu; dan Tuhan kamu, juga Tuhan kamu, adalah Satu; dan kepadaNyalah, kami patuh dengan berserah diri.” (Al-Ankabut: 46)


Inilah juga firman Allah s.w.t. kepada Nabi Musa a.s. dan saudaranya Harun a.s. ketika mereka diutuskan oleh Allah s.w.t. kepada Firaun yang sombong. Sungguhpun begitu, Allah s.w.t. memerintahkan mereka supaya berlemah-lembut. FirmanNya yang bermaksud:

“Pergilah kamu berdua kepada Firaun, sesungguhnya ia telah melampaui batas dalam kekufurannya. “Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata-kata yang lemah-lembut, semoga ia beringat atau takut.” (Taha: 43-44)

Apabila Allah s.w.t. menyatakan supaya dalam berbincang mestilah dengan cara yang baik, maka para da’i perlulah membuat persiapan terlebih dahulu dan segi hujah, latihan, teknik, berbincang yang terbaik, supaya lahir seorang da’i yang mempunyai karisma yang tinggi dalam berdiskusi.

Sekiranya belum benar-benar bersedia, maka adalah lebih baik jika dia tidak menyatakan kesanggupan dari awal untuk melaksanakan dakwah di luar kemampuannya kerana dikhuatiri usaha dakwah akan menjadi semakin sukar dan sulit.

Namun, seandainya dirasakan diri sudah bersedia dengan segala ilmu dan kelengkapan, maka sewajarnya dakwah itu dilaksanakan. Ini kerana seorang da’i yang berilmu pengetahuan sudah pasti akan dapat bermujadalah dengan baik lantaran ilmu yang dimiliki sentiasa menjadikan da’i itu sentiasa dalam keadaan bersedia untuk berhadapan dengan sebarang persoalan yang mungkin akan dilontarkan oleh masyarakat.

Realiti pada hari ini, terdapatnya segelintir pendakwah kadang-kadang mudah melenting dengan berbagai-bagai soalan kerana tiada persiapan. Justeru, ianya sudah pasti menjadi suatu kerisauan sekiranya persoalan itu mematikan ideanya untuk berhujah.

Boleh jadi ada orang yang akan bertanya, jika pendakwah selalu berlembut dan memilih perbincangan dengan cara yang baik maka bilakah pula perlunya ketegasan?? Jawapannya, bersikap tegas boleh berlaku tetapi dalam kadar dan ruang lingkup yang bersesuaian dengan tindak balas mad’u.

Kalau dalam peperangan sekalipun Islam tidak cenderung kepada kekasaran tetapi lebih kepada unsur membalas setara dengan apa yang dilakukan. Maka di dalam dakwah sifat ini lebih dituntut kerana peringkat ini ialah peringkat dakwah iaitu seruan dan pemberian maklumat perintah Islam. Manakala, peringkat perang ialah peringkat jihad.

Lagi pula kalau kasar merugikan dan lemah lembut tidak merugikan maka baiklah kita berlaku lembut kerana kita tidak akan cepat kehabisan peluru. Barangkali peluru akan digunakan dengan begitu waspada sekali. Kalau peluru dilepaskan dilepaskan bertubi-tubi dengan begitu kasar sekali boleh jadi kehancuran akan berlaku.
Sedangkan pendakwah tidak lebih dari seorang doktor untuk merawat pesakit supaya ia sembuh bukan bertujuan untuk membunuhnya.

Hakikat yang sering berlaku ialah musuh lebih mudah hilang pertimbangan dalam menghadapi dakwah samada mereka dari awal-awal lagi menolak apa-apa perbincangan atau mereka lebih mudah cenderung kepada hilang pertimbangan.

Kerana mereka tahu bahawa mereka tidak mampu menghadapi hujah-hujah dari golongan Islam. Contoh peristiwa pembunuhan anak Nabi Adam a.s. iaitu antara Qabil dan Habil. Qabil sanggup membunuh adik kandungnya sendiri lantaran kerana hilang pertimbangan antara akal dan nafsu.

Justeru, sekiranya segala cara telah dilakukan namun mereka masih menolak dakwah maka para da’ie tidak seharusnya dihantui oleh fikiran bahawa mereka telah gagal melaksanakan amanah mereka. Ini kerana soal hidayah dan penerimaan mad’u terhadap dakwah adalah dalam ruang lingkup kehendak mutlak Allah s.w.t.


No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...