August 10, 2009

Pembudayaan Ilmu Teras Keunggulan Ummah..

Ummah yang cemerlang, gemilang dan terbilang akan bisa dilahirkan menerusi pembudayaan ilmu yang berterusan di kalangan pelbagai peringkat generasi. Proses menuntut ilmu tidak terbatas kepada waktu dan golongan tertentu sahaja, ia juga tidak merujuk kepada ilmu tertentu semata-mata tetapi meliputi ilmu dunia dan akhirat.

Sesungguhnya tiada seorang manusia pun yang boleh mengatakan diri mereka sudah cukup berilmu lantaran ilmu yang mereka miliki sebenarnya tidak sehebat ilmu Allah. Ini kerana ilmu Allah sangat luas dan tanggung jawab kita menuntut ilmu tidak akan selesai sehinggalah kita dimatikan olehNya. Sebagaimana firman Allah di dalam surah al-Kahfi, ayat 109 yang bermaksud:

“Katakanlah Muhammad, seandainya lautan menjadi tinta untuk (menulis) kalimat-kalimat Tuhanku, maka pasti habislah lautan itu sebelum selesai (penulisan) kalimat Tuhanku, meskipun Kami datangkantambahan sebanyak itu pula”

Sangat banyak kelebihan yang akan diperolehi sekiranya ilmu diberi keutamaan dalam diri setiap manusia. Dengan ilmu manusia akan mendapat kebahagiaan dunia dan akhirat. Orang yang berilmu bukan sahaja di angkat darjatnya di sisi Allah, bahkan mereka juga akan dimuliakan dan dihormati oleh manusia di sekeliling. Selain itu, ilmu akan membantu manusia untuk membezakan baik dan buruk sesuatu perkara. Jadi, secara tidak langsung dengan ilmu kita akan sentiasa terdorong untuk menjadi hamba Allah yang benar-benar bertaqwa lantaran ilmu yang dimiliki boleh bertindak sebagai pemberi peringatan dan benteng pertahanan diri daripada melakukan perkara-perkara yang ditegah oleh Allah.




Perasan atau tidak, mana-mana bangsa dan agama sekalipun didunia ini sangat menitikberatkan ilmu pengetahuan kerana mereka sedar dengan ilmu mereka boleh melakukan apa sahaja tanpa perlu rasa takut atau ragu-ragu. Islam juga sangat mengutamakan ilmu. Sebaik-baik manusia ialah mereka yang menuntut ilmu dan menyebarkannya walau sedikit untuk manfaat manusia lain. Perlu diingatkan bahawa ilmu yang dimiliki haruslah digunakan ke arah kebaikan sahaja dan tidak disalahgunakan kerana dibimbangi ilmu itu akan bisa membawa kepada kemusnahan, kerosakan dan kehancuran yang akhirnya akan mengundang murka Allah.

Kesimpulannya, marilah kita bersama-sama menyokong sebarang aktiviti yang berbentuk keilmuan. Jika punya kesempatan, hadirkanlah diri dalam setiap majlis ilmu yang diadakan dan rajin-rajinkan diri membaca bahan-bahan yang bermanfaat. Pastikan anak-anak, adik-adik, kaum keluarga dan sahabat-sahabat kita terdedah dengan persekitaran yang cintakan ilmu kerana pada ilmu itu terdapat banyak hikmah. Hidup kita akan terasa tidak akan rugi malah akan bertambah bahagia, lantas menjadikan kita ummah yang cemerlang dunia, cemerlang akhirat. InsyaAllah.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...