August 08, 2009



Peringatan Buat Para Pendakwah: Jauhi Maksiat Zahir

IMAM GHAZALI rahimahullah berkata agama itu terbahagi kepada dua. Pertama, meninggalkan maksiat yang ditegah dan kedua adalah mengerjakan segala yang disuruh. Lazimnya, berbuat taat dan menurut segala yang disuruh itu adalah lebih mudah berbanding dengan meninggalkan perkara yang dilarang. Kerana itu Nabi SAW bersabda, "Orang yang berhijrah itu adalah seorang yang meninggalkan kejahatan dan orang yang berjihad ialah seorang yang memerangi hawa nafsunya."

Individu yang berbuat maksiat dianggap telah mengkhianati Allah dan mengkufuri nikmat yang dianugerahkan-Nya. Ini kerana anggota tubuh badan adalah satu nikmat dan amanah Allah kepada hamba-Nya. Sekiranya hamba tersebut menggunakan anggota tersebut kepada perlakuan maksiat, maka ia telah menyalahi fitrah kejadiannya sendiri. Di waktu inilah seseorang itu menjadi kufur terhadap nikmat Allah. Oleh itu, setiap individu muslim terutamanya yang bergelar para pendakwah hendaklah sentiasa berwaspada dan menjaga sungguh-sungguh seluruh anggota badannya terutamanya anggota yang tujuh iaitu memelihara MATA, TELINGA, LIDAH, PERUT, KEMALUAN, TANGAN dan KAKI. Para pendakwah jangan hanya pandai berbicara tentang dosa dan pahala sedangkan diri sendiri masih kalah dengan tuntutan nafsu syahwat yang merosakkan.
Berawaslah…
Ini kerana hasutan syaitan dan iblis laknatullah tidak pernah mengenal siapa mangsanya. Semakin manusia itu merasakan diri mereka hebat dengan amal dan ilmu, maka semakin besar dugaan dan godaan syaitan yang menanti. Sesungguhnya neraka Jahannam itu terdiri dari tujuh pintu dan tidak terhumban ke dalamnya anak Adam melainkan maksiat anggota yang tujuh itu.

1- Mata yang dianugerahkan Allah untuk melihat dan memimpin anggota tubuh yang lain wajib dielakkan dari melihat empat perkara. Peliharalah mata dari melihat perkara yang haram seperti aurat perempuan, melihat gadis remajadengan iringan syahwat, melihat kepada sesama muslim dengan pandangan yangmenghinakan dan melihat segala keaiban orang lain.
2- Telinga yang berfungsi untuk mendengar sesuatu harus dicegah dari mendengar segala perkataan bid'ah yang menyimpang dari ajaran agama, mendengar umpat-mengumpat dan kata-mengata, mendengar perkataan yang keji dan juga mendengar perkataan yang batil dan sia-sia.
3- Lidah yang diciptakan oleh Allah untuk berkata-kata. Maka hendaklah ia digunakan mengikut fungsinya yang benar. Jangan sampai ia diseleweng dengan menuturkan kalimah dusta walau untuk tujuan bergurau-senda, mengumpat, menfitnah, bertengkar dan mengucapkan segala perkataan kotor. Rasulullah SAW bersabda, "Sesungguhnya dusta itu satu pintu dari sifat munafik."
4- Perut pula hendaklah dipelihara dari memakan yang haram dan yang syubhah (tidak jelas antara yang halal dan haram). Ini kerana makanan yang kita makan akan menjadi darah daging. Rasulullah SAW bersabda, " Setiap daging yang tumbuh dari makanan yang haram maka neraka adalah lebih utama untuknya." Rasulullah SAW turut bersabda lagi, " Ibadat dan ilmu yang disertai dengan memakan rezeki yang haram seperti membina rumah di atas himpunan najis."
5- Seterusnya, Imam Ghazali mengingatkan kita agar menjaga kemaluan dari segala yang diharamkan ke atasnya oleh Allah. Hendaklah ia dipelihara sebagaimana firman Allah, " Dan mereka yang memelihara akan kemaluan mereka melainkan ke atas isteri mereka atau ke atas hamba sahaya mereka, meka sesungguhnya mereka tiada dicela."
6- Tangan turut harus dijaga dengan sebaik-baiknya dari memalukan dan menjatuhkan maruah sesama Islam. Ia juga janganlah digunakan untuk mencapai tujuan yang jahat atau menyuruh berbuat yang haram.
7- Manakala kedua kaki pula hendaklah dipelihara dari melangkah ke tempat-tempat maksiat yang ditegah oleh syarak. Dan juga kedua kaki itu hendaklah dikawal dari menghadap pemerintah yang zalim tanpa sebarang keadaan darurat yang mendesak.

Demikianlah nasihat Imam Ghazali didalam kitabnya yang agung, 'Bidayatul Hidayah.' Sesungguhnya di akhirat nanti segala anggota tersebut akan memberi kesaksian di atas apa yang dikerjakan di muka bumi ini sebagaimana firman Allah di dalam Surah Ya-Siin, " Pada hari Kami kunci mulut-mulut mereka dan tangan-tangan mereka memberitahu Kami dan kaki mereka pula menjadi saksi tentang apa yang telah mereka usahakan.

Akhir kalam, buat para pendokong agama Allah.. jadikan maklumat di atas sebagai panduan dalam membina keperibadian diri agar sentiasa tampil dengan syakhsiah terpuji sebagaimana yang dianjurkan oleh Islam. Moga kita mampu menjadi pimpinan serta qudwah hasanah buat generasi seterusnya.

-Hiasi diri, akhlak dan peribadi-



No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...