August 08, 2009


Rendah Diri.

Ini adalah salah satu sifat dari Akhlak Islamiah yang amat susah dimiliki dan dikuasai oleh seorang muslim lantaran terpaksa berjuang bersungguh-sungguh untuk mendapatkannya.

Ibarat ingin memiliki sifat rendah diri seperti ingin memiliki jejaka atau perawan yang berakhlak mulia tambahan pula yang dicari itu diketahui mempunyai wajah yang segak dan cantik. Mahu lepas kah? Tentu peluang mahu memiliki itu terpaksa melalui pelbagai onak dan duri. Siapa yang sanggup menolak bakal suami atau isteri yang berakhlak mulia dan tidak kurang dari segi cantik wajahnya. Tapi, kepahitan bisa ditempuh sepanjang melalui ujian memiliki segala yang diidam-idamkan sebelum menjelmanya kemanisan. Tidak mustahil seseorang itu dapat memiliki yang diidam-idamkan tanpa sebarang masalah. Bersyukurlah beliau. Itu nikmat dari Allah. Manakala yang terpaksa berhempas pulas memiliki yang diidam-idamkannya itu tentu dapat merasakan hikmah di sebalik ujian yang dilaluinya.

Bersifat rendah diri mestilah kerana Allah bukan kerana manusia. Bukan merendah diri kerana inginkan pujian. Kalau boleh kita selalu berdoa: "Wahai tuhan.. ampunilah daku,jauhilah aku dari sifat takabbur, riak , buruk sangka , ujub,sombong, buruk sangka, ingin dipuji,ingin disayangi, ingin diambil berat,ingin dicintai,ingin di'itu' ingin di 'ini' dan lain-lain keinginan hati"
Sedar atau tidak, pendakwah selalu diuji dengan sikap u'jub (takjub dengan diri sendiri) dan bangga diri. Namun setelah ditewaskan sikap tersebut , ia datang menjelma semula buat kali berikutnya. Tewas .. datang.. Tewas .. datang. Begitulah hingga kita menemui kematian. Justeru, di sini terdapat beberapa PETUA yang ingin dikongsi agar kita sama-sama dapat menewaskan sifat mazmumah ini. Sebagai peringatan, ilmu dan pengalaman manusia sangat terbatas dan lemah. Bandingkanlah apa yang kita ada dengan Kekuasan Allah dan ternyata kita adalah makhluknya!

PETUA PERTAMA!

Apabila suara perasaan ini menjelma dalam jiwa, cepat-cepatlah kita berselawat ke atas junjungan besar Baginda s.a.w. Anda semua tahu bukan bahawa selawat ke atas Baginda banyak cara lafaznya tetapi satu tujuan.

Apabila datang bisikan dalam jiwa /hati/diri seperti: "aku ini cantik, aku ini hebat, aku ini handsome, aku ini pandai, aku ini baik, aku ni lemah lembut, pandai jaga hati" dan lain-lain bisikan, maka cepat-cepatlah BERSELAWAT! Jangan bertangguh! Insya Allah, bisikan perasaan tadi akan hilang kerana tewas dalam pertarungan dengan kuasa sakti SELAWAT. Tambahan pula selawat ke atas Baginda mempunyai fadhilat tersendiri. (Allah akan berselawat 10 kali ke atas hambanya yang berselawat ke atas Baginda s.a.w. sebanyak 1 kali). Ini baru ganjaran bagi 1 selawat. Bagaimana agaknya kalau anda berselawat dalam bilangan yang banyak? Tentu banyak fadhilat yang diperolehi.

* Erti Allah berselawat' di atas adalah Allah memberi rahmat ke atas yang berselawat.


PETUA KEDUA!

Apabila datang suara perasaan dalam jiwa /diri/hati kita maka lawanlah perkara tersebut dengan menyandarkannya kepada pihak lain. Agar apa yang dibanggakan oleh kita itu kelihatan sebenarnya masih 'lekeh' atau 'tak setaraf' berbanding dengan apa yang dimiliki oleh orang lain. Bagaimana caranya? Begini….

Datang bisikan perasaan :"aku ini hansome/cantik... tentu ramai yang menaruh perasaan terhadap aku". Bila berhadapan dengan perasaan macam itu, cepat-cepatlah lawan!

Kita lawan dengan suara hati/jiwa :"ada lagi orang yang lebih hansome/cantik dari aku. Siapalah sangat aku ini....". Maksudnya kita cuba alihkan apa yang kita banggakan itu kepada pihak lain yang lebih layak memiliki perkara tersebut. Contoh yang lebih umapamanya.. Kita berkata : “aku pandai” tetapi sebenarnya “ada orang lain lebih pandai” ,kita berkata “aku baik”, tetapi sebenarnya “ada orang lain lebih baik”. begitulah selanjutnya, cubalah membuat perbandingan setiap kali datangnya suara bisikan dalam hati kita kelak. Jangan selalu melihat kelebihan yang dimiliki oleh diri sendiri lantas membuatkan kita ego dan sombong, tetapi lihatlah apa yang dimiliki oleh orang-orang di sekeliling kita. Nescaya itulah salah satu tembok untuk menjadikan kita lebih bersyukur dan tidak riya’ dengan apa yang kita miliki lantaran menyedari diri kita yang serba serbi kuekurangan dan penuh dosa.

PETUA KETIGA !!!

Iaitu dengan cara kita melawan suara bisikan dalam diri /jiwa kita yang cenderung untuk memuji diri dengan menyandarkan semua sifat-sifat tersebut kembali kepada Allah jua. Ini hak Allah . Itu hak Allah.

Contohnya apabila datang suara bisikan seperti:" Aku ini alim, aku ini wara’, aku ini perfect, aku ini cerdik, aku ini... tahu itu ini, masyarakat hormat aku, aku orang penting, aku orang penyantun, bersungguh-sungguh dalam sesuatu kerja dan lain-lain suara bisikan" maka cepat-cepatlah kembalikan semua sifat-sifat itu kepada Allah.

  • Cuba lihat kata-kata ini..

1)Kita merasakan aku kuat tapi sebenarnya.. Kekuatan itu milik Allah dan Allah lebih perkasa dari makhluk.
2)Kita kata aku handsome/cantik tapi sebenarnya.. Handsome/cantik itu hak Allah dan Allah bersifat dengan cantik mengatasi kecantikan manusia
3)Kita kata aku cerdik/pandai tapi sebenarnya.. Allah lebih mengatasi segala ilmu dan ilmu yang aku miliki hanyalah ibarat debu halus yang berada bumi yang luas.
4)Kita kata: Aku ni berakhlak mulia tapi sebenarnya.. Akhlak aku ini adalah pemberian Allah dan Kekasih Allah iaitulah Baginda s.a.w. adalah lebih tinggi akhlaknya dari umatnya. Jauh beza antara aku dan Rasulallah s.a.w.

Insya Allah , dengan melawan kata-kata tersebut tadi kita akan merasa tiada sesuatu pun dalam diri kita ini yang boleh dibanggakan kerana semuanya hak Allah jua. Barulah datang selepas itu sikap merendah diri penuh rasa kehambaan, iaitu merendah diri kepada Allah dan bukannya merendah diri kepada manusia! Sesiapa yang merendah diri kepada Allah dengan sebenar-benar makna merendah diri, maka kemungkina akan menjadikannya sentiasa menghormati manusia lain di dunia ini kerana dia tahu bahawa semua manusia adalah sama di hadapan Allah. Sesungguhnya tiada seorang manusia pun yang sempurna dan orang yang paling mulia di sisi Allah adalah mereka yg kuat TAQWAnya!

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...