October 22, 2009

!!Dunia OH Dunia!!



Keterikatan hati pada dunia semata-mata hanya akan menjadikan kehidupan kita sia-sia tak bermakna. Hidup kerana dunia akan membuatkan langkah kita tak terarah, perbuatan kita juga seolah-olah tidak bermatlamat dan hanya untuk suka-suka. Dunia akan menyebabkan kita menjadi ‘GILA’. ‘Gila’kan pujian, ‘gila’kan penghormatan dari manusia, ‘gila’ mengumpul harta, gila...gila...dan semakin gila. Apa sahaja yang dilakukan lebih banyak dipandu oleh hawa nafsu berbanding akal fikiran. Kehidupan seharian kita seakan-akan membuatkan kita berasa tidak puas walaupun hakikatnya kita telah mendapatkan apa yang kita ingini dalam kadar yang sudah lebih dari mencukupi. Andai punya masa untuk tidur tidur, kita tidur selena-lenanya.. Apabila makan..kita makan sekenyang-kenyangnya sehingga melampaui batas dan lebih daripada keperluan tubuh badan yang sepatutnya. Ketika bergurau senda pula, kita seringkali berlebih-lebihan dalam bergelak ketawa, kadangkala tanpa sedar kita telah menyakitkan hati manusia di sekeliling kita. Sekiranya kita berbual, ada sahaja tutur kata kita yang berbaur umpatan dan cercaan dalam melihat keaiban orang lain. Sedangkan keaiban diri sedaya upaya disembunyikan. Pendek kata, kehidupan dunia ini sangat menghiburkan dan menyeronokkan bagi golongan yang berasa akan hidup untuk selama-lamanya. Namun, sedarkah kita bahawa dunia ini milik Allah yang Maha Kaya dan Maha Berkuasa atas segala-galanya. Setiap perbuatan kita di dunia ini pasti akan mendapat balasannya di akhirat kelak walau sebesar zarah sekalipun. Ini janji Allah dan sudah termaktub di dalam KalamNya.


Oleh itu, marilah kita bangkit dari kelalaian. Ayuh kita bebaskan diri dari belenggu kehidupan dunia yang menipu. Jangan sia-siakan hidup kita yang sesingkat cuma ini. Sesungguhnya Allah tidak menciptakan sesuatu termasuk kehidupan dunia ini dengan sia-sia. Maka, seharusnya kita fahami di sini bahawa kehidupan di dunia perlulah kita manfaatkan dengan amal soleh supaya dengannya kita bisa beroleh kebaikan dan kebahagiaan yang abadi di akhirat sana. Ini bermaksud, jadikan dunia sebagai ladang untuk kita menyemai benih-benih kebaikan sehingga kita mampu mengutip kembali hasilnya di negeri yang abadi kelak. Jangan biarkan kehidupan dunia berlalu tanpa kita memperoleh sesuatu pun faedah darinya. Tidak salah kita mengambil sedikit dari kehidupan dunia, asalkan akhirat itu tetap menjadi matlamat utama. Asalkan dunia tidak membuatkan ketaatan kita pada Allah semakin berkurang, itu sudah cukup memadai. Namun, kehidupan akan menjadi lebih bermakna seandainya kita bertadabbur dengan apa yang ada di dunia ini sehingga mendorong kita untuk sentiasa sujud, bersyukur dan meningkatkan ketaqwaan kepadaNya. SubhanaLLah!!


P/S: per ‘Banyak’ kan amal soleh.. pastikan setiap hari baru yang bakal dilalui akan lebih baik dan bererti dari hari-hari sebelumnya. Moga hidup sentiasa dalam redhaNya. Ameen.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...